suria

Jumlah Pelajar Dapat Pinjaman Mara Kekal Walau Peruntukan Kurang

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
BERA:  Jumlah pelajar mendapat pinjaman pendidikan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) masih dikekalkan seperti sebelum ini biarpun mengalami pengurangan peruntukan RM400 juta dalam bajet tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara akan tetap memberi pinjaman kepada 20,000 pelajar yang keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.7 bilion, dengan mengikut kategori kelayakan pendapatan ibu bapa masing-masing.

"Apabila berlaku pengurangan peruntukan ini, untuk memastikan kami tidak mengurangkan jumlah peminjam, kami letak kategori peminjam yang layak menerima pinjaman ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Umno Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan Umno Bahagian Bera 2016 di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah akan mendapat pinjaman penuh manakala ibu bapa yang bergaji RM8,000 hingga RM15,000 sebulan, hanya layak menerima pinjaman separuh untuk pembiayaan yuran pengajian sahaja tanpa perbelanjaan sara hidup.

"Bagi ibu bapa yang berpendapatan RM15,000 ke atas pula, MARA tidak beri pinjaman menerusi dana Mara ini, tetapi kami membantu mereka (pelajar) mendapat pinjaman daripada bank mahupun PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)," katanya.

Beliau berkata langkah meletakkan kategori itu adalah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana diberi tumpuan bagi meringankan beban keluarga mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata dalam mesyuarat berkelompok hari ini, wakil cawangan Umno Bahagian Bera sebulat suara membuat deklarasi menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menolak 'Deklarasi Mahathir'.

"Semua mereka juga bersetuju supaya usul ini dibawa ke peringkat mesyuarat peringkat cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. 

Artikel Lain