suria

Kecoh, Pelajar Berebut Baucar Buku

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi sedang menyiasat kejadian huru-hara yang tercetus di kalangan pelajar di sebuah kolej universiti di sini berhubung pemberian baucar buku oleh kerajaan.

Kekecohan itu dikatakan tercetus apabila timbul cakap-cakap bahawa hanya 75 peratus daripada pelajar-pelajar di kolej universiti itu akan menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM250, berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.


Jurucakap kementerian, ketika dihubungi berkata, mereka akan menyiasat kejadian itu.

Beliau memberi jaminan bahawa BB1M bagi tahun terkini akan diperuntukkan berdasarkan nama yang dihantar oleh institusi pengajian tinggi kepada kementerian setakat 31 Disember 2015.

"Kementerian telah mengeluarkan garis panduan mengenai pengagihan BB1M di laman web dan laman Facebook rasminya," katanya.

Ketika dihubungi, jurucakap kolej universiti itu menggesa semua pelajar yang layak untuk berhubung dengan kakitangan fakulti masing-masing dan tidak hanya percaya dengan apa yang disiarkan di media sosial.

"Mengikut perancangan, pemberian baucar kepada pelajar dibuat dalam tempoh tiga hari bermula dari Selasa.


"Kehadiran adalah sangat baik pada hari Selasa dan Rabu."

Pada Selasa, kumpulan pelajar berkumpul di pusat pengagihan di kolej universiti itu seawal pukul 6 pagi.

Menurut laporan di media sosial, berlaku pergelutan melibatkan sebahagian daripada mereka apabila terdapat pelajar yang memotong barisan.

Dalam kekecohan itu, kerusi telah dibaling ke tingkap. Sesetengah pelajar memanjat untuk masuk ke dalam bangunan melalui tingkap tersebut.


Selain kekecohan para pelajar juga terpaksa berdepan dengan cuaca panas, menurut laporan itu.

Ia ditulis di laman Facebook di mana pelajar membincangkan masalah dan memberikan pandangan mereka mengenai kekecohan itu.


Sebahagian daripada pelajar memasukkan gambar dan juga video pelajar sedang memasuki bangunan melalui tingkap.

Menurut salah satu komen, para pelajar telah terlepas kelas kerana perlu beratur selama enam jam.


BB1M, yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Bajet 2012, adalah bantuan buku untuk pelajar Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi. Baucar tidak boleh ditukar dengan wang tunai.
BB1M, kolej universiti, baucar buku

Artikel Lain