suria

Ancaman Pengganas: "Kita Tak Boleh Lagi Tunggu Dan Lihat" - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Bukit Aman terus berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya ancaman pengganas dan Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman akan diperluaskan bagi menangani ancaman yang semakin meningkat.

Berikutan serangan keganasan di Brussels oleh militan Negara Islam (IS) yang menyebabkan 34 orang terbunuh dan lebih 200 cedera, Ketua Polis Negara terus meyakinkan orang ramai bahawa ancaman itu adalah benar, tidak kira apa yang sesetengah pengkritik katakan.

"Di Malaysia, kita tidak mempunyai pilihan melainkan bertindak secara proaktif.

"Kita perlu mengambil tindakan ke atas sedikit maklumat yang kita ada berkaitan mereka yang terlibat dengan IS, malah terhadap mereka yang bersimpati.

"Kita tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat kerana pihak lain telah pun melakukannya," kata Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada The Star dalam satu temubual khas sempena sambutan Hari Polis ke-209.


Justeru Bukit Aman mengambil langkah mengembangkan Bahagian Anti Keganasan.

"Kita menubuhkan bahagian ini di setiap kontinjen polis negeri di seluruh negara selain memantapkan unit ini di Bukit Aman.

"Ia perlu diperluaskan memandangkan beban kerja mereka kini semakin meningkat dengan melihat kepada beberapa ancaman semasa.

"Pengembangan bahagian ini akan disiapkan dengan segera.

"Kami sedang dalam proses memberi surat pertukaran kepada kakitangan yang terlibat.

"Ancaman daripada IS dan kumpulan pengganas lain dijangka kekal dan polis perlu bersedia untuk itu," katanya, sambil menambah tidak ada petunjuk tentang berapa lama ancaman itu akan kekal bertahan.

"Saya tidak mempunyai apa-apa unjuran untuk itu. Hari ini kita bercakap mengenai IS tetapi pada masa akan datang ia boleh menjadi pelbagai jenis ancaman."

Negara jiran, Singapura juga menyedari betapa besarnya keadaan ini.

"Ancaman ini adalah besar dan ancaman ini semakin meningkat," Rohan Gunaratna, yang mengendalikan Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Universiti Teknologi Nanyang Singapura kepada Bloomberg.

"Kerajaan perlukan risikan anti keganasan yang spesifik."

"Agensi-agensi keselamatan kita terus berwaspada terhadap ancaman keselamatan," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Singapura.

"Semua orang boleh memainkan peranan dengan sentiasa berwaspada dan melaporkan tentang individu atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera."

Artikel Sebelum

Artikel Lain