suria

Kakitangan Agensi Pekerja Asing Larikan Remaja Perempuan

IPOH: Seorang remaja perempuan warga Kemboja yang dipercayai diculik oleh lima lelaki ditemui semula sejam kemudian bersama suspek di Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan pihak polis ketika cuba membawa lari remaja berusia 19 tahun itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dan kereta Proton Persona.

Beliau berkata penahanan itu hasil daripada maklumat orang awam dan majikan mangsa berumur 38 tahun yang memaklumkan bahawa sekumpulan lelaki membawa lari remaja itu ketika mangsa sedang membeli barang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Mustapha Al-Bakri di sini, kira-kira pukul 7.28 malam.

"Sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, polis dengan bantuan pasukan sukarelawan awam melakukan gerakan mencari mangsa dan suspek di sekitar bandar raya ini.

"Sekumpulan lelaki itu berjaya ditemui di Plaza Tol Ipoh Selatan dan polis memintas kenderaan yang dinaiki mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, Selasa malam.

Sum berkata mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut, namun tidak menolak kemungkinan kesemua suspek yang bekerja dengan sebuah agensi pekerja asing cuba memujuk mangsa untuk bekerja di tempat lain.

"Difahamkan mangsa melarikan diri dari agensi tempat suspek bekerja dan mangsa cuba memujuk pekerja lain supaya meninggalkan agensi itu," katanya.

Sum berkata kesemua suspek ditahan di Balai Polis Tambun bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah.

Artikel Lain