suria

Guan Eng Dipertikai Tak Tahu Nilai Hartanah

Dr Tan Chuan Hong.

PETALING JAYA: Setiausaha MCA Pulau Pinang, Dr Tan Chuan Hong mempertikaikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang tidak mengetahui nilai pasaran hartanah bagi banglo yang dibelinya.

Beliau berkata, Guan Eng merupakan seorang pembeli yang ‘luar biasa’ kerana mampu membeli di bawah harga pasaran dengan mendakwa tidak mengetahui nilai hartanah tersebut.

Tambah Chuan Hong, alasan Guan Eng kerana tidak mengetahui nilai sebenar rumahnya disebabkan beliau bukan seorang ejen hartanah adalah tidak masuk akal.

“Mana-mana pembeli rumah patut tahu bahawa institusi kewangan akan melakukan penilaian hartanah sebelum membuat keputusan mengenai jumlah pembiayaan.

“Jadi, tidak logik sekiranya Lim (Guan Eng) yang mempunyai latar belakang perakaunan profesional tidak tahu harga pasaran sebelum beli banglo berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Chuan Hong mendakwa, tindakan Guan Eng itu hanya sebagai cubaan untuk menutup sebarang kemungkinan konflik berkepentingan, salah guna kuasa dan pertukaran faedah sebagai balasan apabila membeli rumah tersebut di bawah harga pasaran.

Beliau berkata, nilai hartanah yang merupakan banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn, Georgetown menjadi tanda tanya kerana ia bernilai RM2.5 juta pada 2008.

Katanya, tetapi selepas pengubahsuaian secara besar-besaran, pemilik terdahulu telah menjualkannya kepada Guan Eng pada harga rendah RM2.8 juta.

Tambahnya, berdasarkan penilaian rasmi daripada Institut Penilaian Negara (Inspen) yang boleh diperoleh dengan mudah secara dalam talian, adalah jelas bahawa jenis hartanah yang sepatutnya dinilaikan sekurang-kurangnya 4.27 juta setakat Ogos 2015.

“Sehubungan itu, Lim perlu tampil secara telus bagi menjelaskan tentang perkara sebenar berikutan perbezaan harga yang ketara,” ujar Chuan Hong. 

Artikel Lain