suria

Syarat Ketat Program Rehiring Pastikan Tiada Penipuan - KP Imigresen

Datuk Seri Sakib Kusmi
PUTRAJAYA: Syarat ketat yang dikenakan untuk menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring adalah bagi memastikan tiada pihak cuba mengaut keuntungan daripada pihak berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Sakib Kusmi berkata pelaksanaan program itu, yang dijadualkan berakhir pada 30 Jun ini, perlu dilakukan dengan berhati-hati dan terkawal supaya tidak berlaku kes penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab terhadap PATI.

Antara syarat utama untuk menyertai program itu ialah PATI perlu mempunyai rekod kemasukan asal secara teratur ke Malaysia, mempunyai majikan yang menggajikan lebih enam bulan dan bebas daripada rekod jenayah.

"Bagi PATI yang tidak layak, kita akan pastikan mereka dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur sedia ada iaitu melalui Program 3+1 bagi memastikan pengurangan lambakan golongan itu di dalam negara," katanya dalam  kenyataan di sini, Isnin.

Program Rehiring adalah inisiatif kerajaan kepada PATI dari 15 negara sumber yang bekerja secara haram di negara ini dengan memberikan mereka permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan, selain untuk tujuan pemantauan dan keperluan keselamatan semasa.

Sakib berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) melantik tiga syarikat iaitu Syarikat International Marketing and Net Resources Sdn Bhd (IMAN), Syarikat Bukti Megah Sdn Bhd dan Konsurtium PMF bagi membantu Jabatan Imigresen mengendalikan program berkenaan.

Beliau berkata IMAN berperanan menguruskan PATI warga Indonesia, Bukti Megah mengendalikan PATI warga Myanmar, manakala Konsurtium PMF menguruskan PATI lain-lain warganegara selain dua negara berkenaan.

"Peranan syarikat itu adalah terhad kepada skop kerja yang  ditetapkan oleh kerajaan," katanya sambil menjelaskan bahawa pelaksanaan secara keseluruhan Program Rehiring itu diterajui oleh KDN dan Jabatan Imigresen yang juga pembuat keputusan terhadap setiap permohonan itu.

Menurutnya Program Rehiring berbeza dengan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang dilaksanakan sebelum ini, dengan Program Rehiring hanya melibatkan PATI yang mempunyai majikan.

Bagaimanapun, katanya,PATI yang pernah berdaftar dengan Program 6P yang membabitkan fasa Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran masih boleh dipertimbangkan untuk Program Rehiring.

Mengenai siapa yang perlu mendaftar bagi program itu, Sakib berkata ia dikhususkan kepada majikan yang mempunyai pekerja asing tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.

Beliau berkata tanggungan PATI dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) tidak boleh didaftarkan berdasarkan pekerja asing sedia ada.

"Namun, tanggungan PATI perlu hadir di mana-mana Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen terdekat untuk proses penghantaran pulang ke negara asal melalui Program 3+1," katanya.


Majikan dan PATI boleh memohon menyertai program itu secara dalam talian melalui portal rehiring.imi.gov.my sebelum disambungkan ke laman web rasmi pemilik syarikat pengurusan yang dilantik untuk pendaftaran dan pemprosesan.


Jika permohonan memenuhi syarat, bayaran sejumlah RM800 perlu dibuat kepada syarikat pengendali berkenaan.

Syarikat pengendali akan memaklumkan dari semasa ke semasa status permohonan kepada majikan dan PATI termasuk mengaturkan proses berkaitan seperti pembayaran kompaun di Jabatan Imigresen, pemeriksaan kesihatan di FOMEMA, permohonan kuota di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing KDN serta pengeluaran permit kerja (Pas Lawatan Kerja Sementara).

Sakib berkata mana-mana majikan yang masih menggaji PATI secara haram walaupun mereka layak menyertai Program Rehiring, akan berdepan hukuman undang-undang mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.

KDN dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan sejak dimulakan pada 15 Feb sehingga 10 Mac lepas, sejumlah 15,822 PATI telah didaftarkan di bawah Program Rehiring yang merangkumi 9,738 PATI warga Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 PATI warga lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain