suria

Permintaan Bekalan Ais Meningkat Mendadak

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dalam keadaan cuaca panas dan kering, minuman sejuk berais menjadi pilihan ramai untuk menyegar dan menyejukkan badan.

Keadaan itu menyebabkan permintaan bagi ais meningkat dengan mendadak sekaligus memberi keuntungan kepada beberapa syarikat pengeluar ais terutama di sekitar Kuala Lumpur.

Wakil syarikat pengeluar ais Sunflower Tube Ice Sdn Bhd, Johnson Phung Weong Ear berkata permintaan ais daripada pelanggannya meningkat sehingga 50 peratus setiap hari.

"Permintaan terlalu banyak, bagaimanapun kami tidak dapat menambah pengeluaran ais kerana mengalami kekangan dari segi kekurangan bekalan air dan penggunaan elektrik yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam sehari, kilangnya menghasilkan kira-kira 3,250 beg ais dan tidak boleh mengeluarkan lebih daripada jumlah tersebut memandangkan penghasilannya turut mengambil kira keupayaan dan kapasiti mesin penghasil ais.

Sementara itu, ejen syarikat pengedar ais Rol Ice Enterprise, Saderol Ramli berkata pihaknya sebelum ini hanya dapat menjual kira-kira 300 beg ais sehari.

"Apabila cuaca panas, permintaan meningkat hingga mencecah lebih 450 beg sehari," katanya.

Saderol berkata terdapat kilang yang mengalami kekurangan stok bekalan ais disebabkan banyak permintaan tetapi ia tidak menjadi masalah bagi pihaknya untuk memenuhi permintaan setiap pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

Terdapat kira-kira 20 syarikat pengeluar ais di ibu negara.

Sementara itu, seorang pekerja kedai runcit Ben's Independent Grocer, Publika di sini berkata permintaan bagi ais di kedai itu sangat laris berikutan cuaca panas sekarang.
bekalan ais, cuaca panas, kilang ais

Artikel Lain