suria

Asyraf Wajdi 'Hentam' Rayani Air

PETALING JAYA: Rungutan pengguna mengenai prestasi syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Menyifatkan syarikat penerbangan tambang murah itu sebagai 'indah khabar daripada rupa', Asyraf Wajdi menegur pihak pengurusannya supaya memahami dan mengaplikasikan prinsip syariah yang sebenar.

"Batalkan penerbangan sesuka hati hingga menyusahkan orang yang sudah mengatur pelbagai urusan.

"Ingatlah, aspek pematuhan syariah bukan sekadar berbangga dengan peragaan pakaian kru yang menutup aurat tetapi termasuklah aspek menunaikan janji dan menepati masa," katanya menerusi posting di laman Facebook pada Sabtu malam.

Tegas Asyraf Wajdi, Rayani Air perlu menitikberatkan prinsip dan nilai syariah yang sebenar mengikut pandangan Islam.

"Kalau prinsip perkhidmatan yang asas seperti ini tidak dapat dipatuhi, usah mendabik dada mendakwa kononnya penerbangan pertama patuh syariah.

"Islam bukan hanya sekadar label apatah lagi untuk diperdagangkan tetapi perlu memenuhi prinsip syariah, nilai dan akhlak yang lebih utama," katanya.

Baru-baru ini Rayani Air membatalkan beberapa penerbangan menyebabkan penumpang menyerbu pejabat syarikat penerbangan terbaharu itu di KLIA2.

Syarikat itu juga pernah membatalkan dua penerbangan dari dan ke Langkawi gara-gara cermin korpit pesawat retak yang menyebabkan lebih ramai penumpang terkandas.

Asyraf Wajdi Dusuki, Rayani Air

Artikel Lain