suria

Pampasan Kren Tumbang: Arab Saudi Di Fasa Akhir Teliti Senarai Mangsa

GURUN: Kerajaan Arab Saudi kini di fasa akhir meneliti senarai mangsa kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada musim haji September lepas sebelum membuat bayaran pampasan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi perlu mengambil sedikit masa bagi memulakan proses pembayaran kepada waris mangsa yang terkorban dan yang cedera dalam insiden itu kerana mangsa terdiri daripada pelbagai negara dan ada yang tidak mendapatkan rawatan di hospital negara itu.

Katanya keadaan itu memerlukan kerajaan Arab Saudi mendapatkan senarai mangsa yang dirawat di pusat rawatan disediakan sesebuah negara selain mengenal pasti tahap kecederaan yang dialami mangsa yang cedera.

"Ada cedera ringan dan ada yang parah. Misalnya Malaysia ada empat rumah sakit disediakan kerajaan di Makkah dan Madinah," katanya selepas melancarkan Program Peningkatan Prestasi Akademik UPSR Sekolah-Sekolah Parlimen Jerai di  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Jln Jeniang, di sini, Ahad.

Tujuh jemaah Malaysia terkorban dalam tragedi kren tumbang itu dan menurut Saudi Press Agency, Penjaga Dua Kota Suci iaitu Raja Salman memerintahkan pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera.

Jamil Khir berkata, Malaysia sudah pun mengemukakan senarai nama mangsa yang cedera dan waris mangsa yang meninggal dunia akibat insiden tersebut yang layak menerima pampasan kepada kerajaan Arab Saudi, namun tarikh pembayaran bergantung kepada kerajaan Arab Saudi.

Dalam kejadian 11 September tahun lalu, tujuh warga Malaysia adalah antara lebih 100 jemaah haji yang terkorban, manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir menyarankan masjid dan surau untuk menganjurkan solat hajat bagi memohon keselamatan khususnya dalam menghadapi cuaca panas akibat fenomena El-Nino ketika ini.-- Bernama

Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain