suria

Malaysia Sasar Makanan Harian Bebas Antibiotik Menjelang 2020

Hamzah Zainuddin.

LUMUT: Malaysia menyasarkan makanan harian terutama ayam bebas daripada kandungan antibiotik menjelang tahun 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, ketika ini semua ladang ternakan dilarang memberi ayam makanan yang mengandungi antibiotik untuk tempoh tujuh hari sebelum ia melalui proses penyembelihan bagi mengelak sebarang komplikasi kepada pengguna.

Menurut Hamzah, pemberian antibiotik dalam makanan ayam bertujuan memastikan makanan tersebut tidak mengandungi sebarang toksin.

"Kita tidak mahu ada antibiotik semasa menyediakan makanan kepada keluarga, sebab itu pada masa hadapan kita tidak mahu antibiotik ini digunakan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2016 di sini, Selasa.

Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Antibiotics off the Menu' bertujuan mengelak penggunaan antibiotik serta ubat-ubatan dalam ternakan termasuk bagi tujuan pencegahan penyakit.

Terdahulu, Hamzah melawat pusat pemprosesan ayam Dindings Poultry Sdn Bhd di sini yang menjalankan kajian bersama sebuah universiti di Amerika Syarikat mengenai penggunaan antibiotik ke atas ayam. 

"Kalau syarikat ini boleh mendapat hasil yang terbaik melalui kajian tersebut, kita akan promosikan produk mereka di seluruh negara.

"Kita juga akan bekerjasama dengan syarikat tersebut dalam usaha untuk memaju dan menambahkan pendapatan negara," katanya. - Bernama

Artikel Lain