suria

LHDN: Baucar Ganti Cek

KUALA LUMPUR: Baucar akan diberikan kepada pembayar cukai individu yang enggan mendedahkan nombor akaun bank mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pembayaran balik cukai terlebih bayar.

Pengarah Jabatan Korporat LHDN, Marina A. Aziz berkata, pembayaran balik cukai menggunakan baucar akan diperkenalkan mulai 1 April, menggantikan cek.

Beliau berkata terdapat kos untuk mengeluarkan setiap cek selain wujudnya cubaan penipuan tuntutan.

Lima kes penipuan dikesan tahun lepas melibatkan pembayaran balik berjumlah kira-kira RM200,000.

"Ada yang memberikan alamat palsu sementara yang lain memberikan alamat yang tidak lengkap dan menyebabkan cek itu ditolak," kata Marina.

Sistem baucar akan menjimatkan LHDN sebanyak kira-kira RM250,000 bagi kos mengeluarkan cek setiap tahun.

"Kami menggalakkan pembayar cukai untuk memberikan nombor akaun bank mereka kerana ia memudahkan urusan transaksi elektronik. Namun bagi mereka yang enggan mendedahkan nombor akuan, kita akan mengeluarkan baucar," katanya.

Pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan pembayar cukai individu, tidak termasuk anggota tentera dan polis.

Baucar hanya boleh ditunaikan atau dikreditkan ke akaun bank pembayar cukai di CIMB Bank atau CIMB Islamic.

Marina berkata kira-kira 350,000 pembayar cukai enggan mendedahkan nombor akaun bank mereka kepada LHDN kerana ia adalah maklumat peribadi yang sensitif dan sulit.

Walau bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa maklumat yang disimpan oleh LHDN adalah sulit dan rahsia serta hanya akan digunakan bagi tujuan pembayaran balik.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hasil.gov.my.

LHDN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain