suria

Penjenamaan BTN Sasar Pelbagai Lapisan Masyarakat

KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula Biro Tata Negara (BTN) akan mensasarkan pelbagai lapisan masyarakat yang menjadi ejen perubahan untuk mewujudkan konsep negara bangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kumpulan sasar yang akan terlibat itu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Rukun Tetangga, guru-guru dan pihak berkuasa tempatan.

"Ini kerana golongan berkenaan juga merupakan ejen perubahan dalam mewujudkan konsep negara bangsa," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan "Dalam Radar" Radio 24 Bernama di sini, Selasa.

Pada Januari lepas, Azalina dilaporkan berkata BTN perlu melalui proses penjenamaan semula bagi memastikan pengisian ilmunya relevan kepada kumpulan sasar terutama generasi muda.

Azalina berkata pendekatan BTN itu bukan sahaja tertumpu kepada ceramah dan seminar, tetapi akan menggunakan kaedah yang lebih santai dan kreatif sesuai dengan perkembangan semasa.

"Ini termasuklah penggunaan facebook, instagram, twitter dan selfie yang lebih berkonsepkan atas talian bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotisme," katanya. - BERNAMA

BTN, Azalina Othman Said

Artikel Lain