suria

MH370: MAS Adakan Perjumpaan Tertutup Di KLIA Sempena Ulang Tahun Kedua

SEPANG: Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada Selasa mengadakan perjumpaan tertutup sempena ulang tahun kedua kehilangan Penerbangan MH370yang menjadi misteri, genap dua tahun lalu.

MAS dan MAB dalam kenyataan bersama berkata perjumpaan tertutup itu yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini dihadiri oleh kakitangan syarikat penerbangan dan anggota keluarga 13 kakitangan yang menaiki pesawat Boeing 777-200ER itu.

Perjumpaan ahli keluarga Malaysia Airlines diketuai oleh Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Yusof, yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Christoph Mueller, ahli lembaga dan kakitangan dari semua bahagian syarikat.

"Pada majlis itu, mereka memperingati 13 kakitangan dan krew dengan membaca doa, bertafakur selama satu minit serta tayangan video sebagai kenangan untuk bekas rakan-rakan mereka," kata kenyataan itu.

Mengenai Penyata Interim yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Selasa, MAS melahirkan penghargaan kepada pasukan penyiasatan atas tugasan yang telah dijalankan setakat ini.

Syarikat penerbangan telah bekerjasama rapat dengan BSKU dan memberi kerjasama penuh," kata kenyataan itu.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang, hilang dari imbasan radar pada awal pagi 8 Mac, 2014.

Penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi. - BERNAMA

MH370, MAS

Artikel Sebelum