suria

Fenomena Gerhana Matahari Separa Esok

Seorang pengunjung Planetarium Sultan Iskandar Kuching, Michelle Emass mencuba cermin mata khas yang akan digunakan untuk melihat fenomena Gerhana Matahari Separa yang akan berlaku pada Rabu. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku di negara ini bermula pukul 7.24 pagi hingga 9.30 pagi Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata fasa pertama gerhana itu berlaku pada 7.24 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada 8.23 pagi.

Beliau berkata umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat gerhana matahari berjemaah disertai dengan khutbah gerhana.

"Sehubungan itu, Jakim menyeru semua masjid dan surau mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah swt dengan mengadakan solat sunat gerhana berserta khutbah gerhana.

"Ibadah sunat ini seharusnya dapat ditunaikan sebaik mungkin apatah lagi ia jarang berlaku," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Othman berkata Jakim juga melalui Unit Falak dan Masjid Putra, Putrajaya akan mengadakan solat sunat gerhana matahari pada pukul 8 pagi.

Selain itu, katanya, aktiviti cerapan juga akan diadakan di Masjid Putra dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

"Orang ramai terutama penduduk sekitar Putrajaya dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semulajadi serta menunaikan solat sunat gerhana matahari secara berjemaah," katanya. - BERNAMA
gerhana matahari, Jakim

Artikel Lain