suria

MH370: Laporan Akhir Ialah Dokumen Awam Elak Insiden Berulang

PUTRAJAYA: Laporan akhir yang disediakan oleh pasukan penyiasatan bebas mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 ialah dokumen awam mengandungi perakuan dan langkah-langkah yang boleh digunapakai di seluruh dunia untuk mengelak insiden itu daripada berulang.

Ketua penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon berkata pasukan itu akan menyediakan laporan akhir selepas misi pencarian MH370 ditamatkan dan tiada bukti baharu diperoleh.

"Laporan akhir mesti dilakukan, walau bagaimana sukar sekalipun untuk menyiapkannya," kata beliau ketika ditemui pada Selasa sambil menambah laporan akhir perlu dikeluarkan di bawah Lampiran 13 ICAO.

Pasukan penyiasatan telah mengeluarkan penyata interim dan maklumat faktual mengenai insiden MH370 pada ulang tahun pertama tahun lepas dan untuk tahun ini, ia hanya mengeluarkan penyata interim.

Penerbangan MH370, bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

Bangkai pesawat itu belum dijumpai walaupun operasi mencari secara besar-besaran dilancarkan di selatan Lautan Hindi, kawasan penerbangan pesawat Boeing 777-200ER itu telah berakhir selepas melencong dari laluan asal.

Serpihan flaperon dijumpai pada Julai tahun lepas di Pulau Reunion, milik Perancis dan pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa ia milik MH370.

Awal bulan ini, sebahagian daripada objek dipercayai dari pesawat Boeing 777 dilaporkan dijumpai dekat pantai Mozambique dan semalam, satu lagi serpihan dijumpai di Pulau Reunion, yang juga dikaitkan dengan pesawat MH370.

Pasukan Penyiasatan Kemalangan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370, telah ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan pesawat itu. Ia terdiri daripada 19 wakil Malaysia dan tujuh wakil bertauliah dari tujuh pihak berkuasa penyiasatan kemalangan dari tujuh negara.

Pihak berkuasa itu ialah Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), Bureau d'Enquetes et d'Analyses (BEA) dari Perancis, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (NTSC), Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Singapura (AAIB), Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat.

Kok berkata seperti dinyatakan dalam Lampiran 13 ICAO, objektif penyiasatan kemalangan atau insiden ialah mencegah kemalangan atau insiden seumpama itu daripada berlaku pada masa depan dan bukan bertujuan meletakkan kesalahan atau liabiliti.

"Laporan ini akan disediakan sedemikian rupa untuk memberi penekanan kepada keselamatan supaya ia tidak berulang. Dalam laporan itu, banyak cadangan ditampilkan supaya pelbagai pihak yang berkepentingan tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak mengulangi kesilapan," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir bukan "laporan akhir oleh Malaysia" tetapi juga laporan akhir oleh tujuh negara lain yang terlibat dalam pasukan penyiasatan.

"Mereka bukan sahaja "si fu" (guru) kami kerana mereka adalah pakar. Mereka juga memberikan kami panduan dan nasihat dan akhirnya mereka-lah yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan kami.

"Kami memerlukan persetujuan dan kesepakatan dari tujuh pakar bertauliah berdasarkan pengalaman, latar belakang mereka dalam penerbangan," katanya.

Ketika ditanya sama ada pasukan penyiasatan akan dibubarkan sebaik sahaja laporan akhir dikeluarkan, Kok berkata terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan.

Ketua penyiasat juga berkata penyiasatan terhadap insiden MH370 juga boleh dibuka semula jika bukti baharu yang boleh dipercayai diperoleh selepas laporan akhir dikeluarkan.

Beliau menambah bahawa ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengawal selia perjalanan udara antarabangsa, tidak pernah menetapkan garis masa untuk menyiapkan laporan akhir.

"Menyiasat kemalangan bukan tugas yang mudah. Prosesnya adalah sukar kerana anda perlu mengesahkan banyak perkara," katanya.

Kok berkata pasukan penyiasatan komited untuk melakukan yang terbaik dan mencari kebenaran mengenai kehilangan MH370.

"Doa saya adalah bersama-sama ahli keluarga. Kami mencuba yang terbaik untuk mencari kebenaran dalam laporan kami supaya semua orang tahu apa yang berlaku pada hari yang malang itu," katanya.

Beliau berkata anggota pasukan penyiasatan amat komited dan hubungan kerja dengan pakar-pakar amatlah menggalakkan dan mesra dalam mencari kebenaran dalam insiden yang paling menimbulkan misteri dalam industri penerbangan.

"Kami mengkaji semua maklumat yang diterima secara serius dan bertanggungjawab memandangkan kami sedang menangani kes paling serius kerana ahli keluarga dan waris mahukan jawapan," katanya. - BERNAMA

laporan akhir, MH370, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain