suria

#APO2016: Orang Utara Sporting, Bakal Meriah di Selatan

Krew skuad Jelajah APO2016 bergambar bersama orang ramai ketika berada di Ipoh.

PETALING JAYA: Jelajah Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 ke utara tanah air masing-masing di Pulau Pinang dan Perak pada hujung minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pembaca portal berita, mStar Online dan pendengar Suria FM.

Menurut Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, orang ramai yang hadir ke setiap lokasi terpilih begitu sporting dan kebanyakan mereka sudah tahu mengenai APO2016.

"Sambutan orang ramai cukup menggalakkan dan apa yang saya boleh katakan ialah orang utara cukup sporting.

"Krew skuad Jelajah APO2016 tidak perlu menerangkan lebih lanjut tentang anugerah tersebut kerana kebanyakan mereka sudah tahu mengenainya," katanya.

Malah beliau berkata, kerja krew skuad jelajah APO2016 menjadi lebih mudah kerana dibantu promosi penganjur bersama anugerah tersebut iaitu mStar Online dan juga Suria FM.

"Sejak pengenalan anugerah ini Khamis lalu, promosi tentang anugerah ini menerusi portal mStar Online dan juga pengumuman oleh deejay Suria FM memang banyak membantu krew yang terlibat," katanya.

Menjelang kunjungan ke selatan tanah air dengan destinasi pertama di sekitar Johor Baru pada Selasa, Adiwati berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menemui krew skuad jelajah ini bagi memastikan selebriti kesayangan dan personaliti pilihan mereka tersenarai sebagai calon lima teratas dalam APO2016.

Orang ramai tidak ketinggalan mencalonkan selebriti kesayangan dan personaliti pilihan mereka.

"Jom orang Selatan, kita pakat turun ke lokasi yang akan dikunjungi krew bermula esok (Selasa). Pastikan anda calonkan selebriti kesayangan atau personaliti pilihan untuk tersenarai dalam top 5," katanya.

Jelas Adiwati, beliau turut meminta dua deejay terkemuka stesen radio Suria FM, Linda Onn dan Lin untuk menguar-uarkan mengenai jelajah APO2016 memandangkan mereka anak jati Johor.

"Saya sudah minta mereka untuk buat promosi mengenai Jelajah APO2016 yang akan berada di Johor Baru pada esok.

Krew Jelajah APO2016 bersama orang Pulau Pinang.

"Saya rasa ia lebih berkesan kerana mereka berasal dari Johor, jadi ia sekali gus akan menarik perhatian orang ramai untuk menemui krew di sana nanti," katanya.

Beliau turut menjangkakan penerimaan orang di Selatan mungkin sedikit berbeza berbanding di utara kerana kempen promosi sudah masuk minggu kedua.

"Kita boleh jangkakan sambutan lebih meriah kerana orang ramai dah menyedari tentang anugerah ini," katanya.

Acara terbitan Kumpulan Media Star itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

#APO2016 yang dikendalikan mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 17 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my.

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook http://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline.

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain