Perjuangan Umno Lebih Utama Berbanding Karenah Individu Yang Kecewa - Semasa | mStar

Perjuangan Umno Lebih Utama Berbanding Karenah Individu Yang Kecewa

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik mutakhir masa kini telah merangsang perpaduan lebih padu dan menyemarakkan iltizam dalam kalangan anggota Umno untuk meletakkan perjuangan parti lebih utama daripada kerenah beberapa individu yang kecewa.

Justeru, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa meminta semua anggota Umno supaya memggunakan sepenuhnya mesyuarat agung cawangan masing-masing untuk terus memperkasa semangat juang serta membincangkan isu-isu berkaitan usaha membela nasib rakyat.

"Tindakan sebegitu bukan saja dinanti-nantikan oleh rakyat tetapi juga memberi makna lebih besar kepada sebuah perjuangan, " katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Beliau berkata tindakan beberapa anggota Umno dan bekas pimpinan parti itu yang bersekongkol dengan pembangkang cuba menjelmakan wajah 'Demi Rakyat' dan 'Menyelamatkan Malaysia', "namun nawaitu sebenar terlalu nyata untuk mereka sembunyikan."

Annuar berkata walaupun tindakan mereka itu satu penghinaan terhadap kebijaksanaan anggota Umno dan atas hakikat itu, semua anggota Umno perlu terus fokus kepada amanah rakyat dan peranan parti dalam membela nasib rakyat.

"Walaupun Umno luka dan sedih melihat beberapa pemimpin yang dijulang selama ini akhirnya kini dicemuh dan dibenci oleh ahli akar umbi namun apakan daya kerana pemmimpin berkenaan memilih jalan yang sukar diterima," katanya.

Pada Jumaat lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir adalah antara 58 individu yang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Acara menandatangani deklarasi itu, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR, dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik. - BERNAMA

Annuar Musa , Umno

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel