suria

PAS Ragui Tun M

PETALING JAYA: Pemuda PAS meragui langkah Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai kepimpinan pembangkang dalam misi 'Selamatkan Malaysia' menerusi memorandum 'Deklarasi Rakyat' bagi menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Naib Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, bekas perdana menteri itu perlu menyatakan dengan jelas sama ada beliau sanggup untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada parti lain sekiranya Najib digulingkan.

"Soalnya, apa selepas deklarasi rakyat? Adakah Dr Mahathir sanggup bersama pembangkang untuk menukar kerajaan kepada parti selain Umno-BN?

"Atau hanya ingin menukar Najib dan penyokongnya kepada orang-orang Dr Mahathir yang lain dalam Umno?" katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Jumaat lepas, Dr Mahathir bersama 50 yang lain termasuk pemimpin dan aktivis pembangkang menandatangani 'Deklarasi Rakyat' bagi menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Turut sama ialah Timbalan Presiden Umno yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Deklrasi itu turut mendapat sokongan daripada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik serta Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu, mengulas mengenai strategi kumpulan berkenaan, Khairil Nizam berkata, tuntutan supaya Najib berundur tanpa melalui proses pilihan raya hanya akan merugikan pembangkang.

Katanya, langkah menjatuhkan Najib dan kemudiannya menaikkan pemimpin lain daripada parti yang sama tidak akan mengubah apa-apa dalam pentadbiran negara.

"PAS juga jelas bahawa menukar Najib kepada pemimpin lain sebelum pilihanraya diadakan akan memanjangkan usia Umno-BN sama seperti ketika Umno menukar presiden daripada Dr Mahathir kepada Pak Lah (Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi) dan Pak Lah kepada Najib.

"Umno tetap memimpin BN membina kerajaan walaupun 51 peratus undi popular pada pilihanraya 2013 memihak kepada pembangkang.

"Strategi seperti ini sepatutnya sudah tidak boleh dipakai. Hanya dengan menewaskan Umno-BN secara total menerusi pilihanraya barulah akan dilihat perbezaan dalam corak kepimpinan negara," katanya.

Artikel Lain