suria

Pensyarah Wanita UniMAP Dinobat Juara Pameran Reka Cipta Istanbul

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar kejayaan membanggakan apabila pensyarah wanita Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungannya (PPKKP) dinobat juara keseluruhan pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Istanbul (ISIF) 2016 yang berakhir, Ahad.

Dr Latifah Munirah Kamarudin Munirah menerima anugerah Grand Prix iaitu anugerah tertinggi ISIF 2016 melalui inovasinya Unisense: Internet of Thing for Multi Sensing, iaitu sistem pemantauan alam sekitar berasaskan awan.

UniMAP dalam kenyataan pada Isnin berkata, Dr Latifah Munirah pernah meraih pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) di Kuala Lumpur bulan lepas menerusi inovasi tersebut yang berasaskan keadaan alam sekitar seperti kualiti udara dan air diambil menggunakan penderia setiap 15 minit dan dihantar ke pangkalan data untuk pemantauan dan analisis.

Reka cipta yang dihasilkannya itu boleh mengukur indeks pencemaran udara, taburan hujan serta paras air sungai-sungai utama dan berguna bagi memantau cuaca termasuk mendapatkan maklumat awal sebelum berlaku bencana.

"Kejayaan ini amat bermakna buat saya dan pasukan penyelidik UniMAP kerana proses perjurian amat ketat sedangkan 32 pingat emas sahaja ditawarkan untuk 500 penyertaan yang diterima," katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Menteri Sains, Industri dan Teknologi Turki, Fikri Isik menyampaikan hadiah kepada para pemenang. 

ISIF 2016 ialah pameran inovasi dan reka cipta, pertama kali diadakan di Turki anjuran Kementerian Sains, Industri dan Teknologi negara itu bersama Institut Paten Turki, Anatolia Inventions Inventors Association (ABDER) dan International Federation Inventors Associations (IFIA).

Ia berlangsung dari 3 Mac di Pusat Kongres Istanbul, disertai 25 negara antaranya Turki, Bosnia, Korea, China, Jerman, Poland, Romania, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Iraq, Iran, Portugal, Iceland, India, Brazil dan Malaysia. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kejayaan Dr Latifah Munirah membuktikan penyelidik wanita mampu menghasilkan inovasi yang memanfaatkan masyarakat.

"Kemenangan ini juga satu petanda bahawa UniMAP tidak ketandusan penyelidik wanita berwibawa untuk mengharumkan nama negara dan UniMAP," katanya.

Dalam ISIF itu, Felo Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Shamala Ramasamy turut meraih pingat emas hasil penyelidikannya 'Pro Eco-Paint' manakala Dr Rozyanty Rahman (CEGeoGTech) mendapat pingat perak.

Dr Muzamir Isa (PPK Sistem Elektrik), Dr Sharifah Shahnaz Syed Bakar (PPK Bahan), Baharuddin Ismail (PPK Sistem Elektrik) dan Nurul Razliana Abdul Razak (Fakulti Teknologi Kejuruteran), masing-masing menyumbang satu pingat gangsa.

Malaysia menduduki tangga kedua keseluruhan dengan mendapat tiga pingat emas, satu pingat perak dan 13 gangsa di belakang Turki.

Penyelidik lain ke ISIF di bawah Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) antaranya Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis, SMS Hulu Selangor, SMS Muar, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah St Michael Penampang, Sabah. -- Bernama


Artikel Lain