suria

Nazri Mahu Muhyiddin, Mukhriz Disingkir

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu disingkirkan daripada Umno kerana mereka bertindak melangkaui batas, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz.

Menurut Nazri, jalan terbaik adalah dengan menggugurkan timbalan presiden Umno yang digantung dan bekas menteri besar Kedah itu daripada Umno atas tuduhan melanggar disiplin parti.

"Kami perlu berbincang semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang. Sudah tentu pendapat peribadi saya adalah untuk memastikan mereka keluar.

"Sama seperti bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyingkirkan dua wakil rakyat yang tidak mengundi resolusi menentang Umno di Dewan Undangan Negeri. Kami akan mengikuti gaya mereka," katanya.

Nazri sebelum ini berkata beliau tidak bersetuju supaya Muhyiddin dipecat daripada parti tetapi kini katanya bekas timbalan perdana menteri itu perlu disingkirkan.

"Sebelum ini beliau mengkritik dalam lingkungan parti...tapi sekarang beliau sudah melampaui batas, duduk dengan pembangkang," katanya sambil menambah bahawa mereka tidak akan tergesa-gesa mengenai perkara itu kerana terdapat prosedur yang perlu diikuti.

Ditanya mengenai kenyataan Mukhriz yang mendakwa pengisytiharan 'Selamatkan Malaysia' hanya untuk menjatuhkan Najib dan bukannya Umno, Nazri berkata kenyataan itu tidak logik.

"Seluruh Umno menyokong Najib, jadi bagaimana beliau boleh mengatakan bahawa ia tidak menjatuhkan Umno?

"Tak ada logik. Lebih-lebih lagi perjanjian itu juga menuntut supaya semua orang yang bersama-sama dengan Najib perlu dijatuhkan, jadi secara automatik bermakna ia adalah untuk menjatuhkan Umno," katanya.

Artikel Lain