suria

Garis Panduan Kebersihan, Keselamatan Makanan Ditambah Baik

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (empat, kiri) menziarah mangsa Norhafizah Abdul Manaf, 22, (kanan) yang mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan di Hospital Batu Gajah (HBG). Seramai 37 orang terdiri dari 30 lelaki dan tujuh wanita berumur lingkungan 2 hingga 71 tahun menerima rawatan di HBG kerana mengalami muntah dan cirit birit dipercayai keracunan makanan selepas membeli makanan di sebuah gerai di Siputeh.

KUALA LUMPUR: Garis panduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan akan ditambah baik bagi memastikan kes keracunan makanan akibat penyemburan racun di kawasan premis makanan tidak berulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penambahbaikan garis panduan itu akan dibuat setelah kajian punca pencemaran kes keracunan makanan yang berlaku di Batu Gajah, Perak, Jumaat lepas. 

"Memang sudah ada garis panduan kepada pengurus makanan, tapi mungkin perlu ditambah baik setelah kajian punca pencemaran ini diketahui.

"Biar kita kaji punca pencemaran dahulu sebelum membuat sebarang cadangan penambahbaikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kes keracunan makanan di Siputeh, Batu Gajah, Perak adalah pertama kali dilaporkan berlaku akibat pencemaran berpunca daripada penyemburan racun rumpai di kawasan berhampiran gerai dan kemudiannya mencemarkan makanan selepas ditiup angin.

Mengulas lanjut kejadian di Siputeh, Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini dua daripada empat mangsa yang kritikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Setakat semalam, 37 orang terdiri daripada 30 lelaki dan tujuh wanita berumur lingkungan dua hingga 71 tahun dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) kerana mengalami muntah dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan.

Dua puluh empat daripada mangsa kemudian dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada petang hari yang sama, sembilan masih menerima rawatan di HBG.-- Bernama



Artikel Lain