suria

Tiada Maklumat Anggota Daesh Masuk Malaysia Lalui Sempadan

PADANG BESAR: Polis tidak menerima sebarang maklumat mengenai anggota Daesh berjaya menyeberang masuk ke negara ini melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata, pintu masuk itu sentiasa dikawal ketat dan polis kedua-dua negara sentiasa bekerjasama erat serta bertukar maklumat bagi membanteras aktiviti pengganas.

"Padang Besar tidak terkesan dengan Daesh yang cuba menyeberang masuk. Saya dapati keadaan di sempadan Malaysia-Thailand bertambah baik," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau ditemui selepas menyambut ketibaan 20 peserta program 'Kayuhan Beca Melaka' di Dataran Arked MARA di sini.

Menurut Shafie beliau mendapat maklumat daripada Jabatan Kastam Perlis bahawa kutipan cukai telah meningkat berkali ganda yang bermakna aktiviti penyeludupan berkurangan.

"Perkembangan positif ini berikutan langkah-langkah kawalan keselamatan yang diambil.

"Penempatan Pasukan Gerak Am di kawasan di sepanjang sempadan yang dikenalpasti bermasalah ada memberi kesan," tambahnya. - BERNAMA

Daesh, pintu sempadan

Artikel Lain