suria

Motosikal Masih Penyumbang Utama Kemalangan Maut

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 60 peratus daripada 6,706 orang yang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tahun lepas adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Abdul Ghafar Yusof berkata pihaknya menyarankan agar penggunaan motosikal dikurangkan bagi mengelak kemalangan maut yang sangat tinggi.

Beliau berkata antara faktor pengguna memilih motosikal sebagai pengangkutan utama ialah harganya murah dan dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Yang menjadi isu besar di Terengganu sendiri ialah kira-kira 30 peratus penunggang motosikal yang diperiksa tidak mempunyai lesen yang mungkin menyumbang kepada kemalangan atau menyebabkan kenderaan lain terlibat dalam kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di sini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengarah JKJR Terengganu Ahmad Firdaus Haron.

Abdul Ghafar berkata proses pengeluaran lesen perlu diperketat supaya dapat melahirkan pemandu atau penunggang motosikal yang betul-betul dapat memandu dengan berhemah dan selamat.

Menurut beliau, sebanyak 12,094,790 motosikal didaftarkan sepanjang tahun lalu manakala 11,871,696 pula bilangan kereta yang didaftarkan bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata jumlah kematian di seluruh negara akibat kemalangan pelbagai kenderaan meningkat kepada 6,706 orang pada tahun lepas berbanding 6,674 orang pada tahun 2014.

Jumlah kemalangan pada tahun lepas juga meningkat iaitu 489,606 kes berbanding 476,196 pada tahun sebelumnya. - BERNAMA


Artikel Lain