suria

Remaja Cemerlang STPM Maut, Motosikal Langgar Lori

KUALA KETIL: Seorang remaja yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) maut selepas motosikal yang ditunggangi, melanggar belakang lori di Kampung Kuala Bakong, Jalan Baru Kuala Bakong-Kuala Ketil di sini, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Baling Superitendan Shariffuddin Yusof berkata dalam kejadian pada 2 petang itu, Saiful Abdul Wahab, 20, yang berasal dari Kampung Merbau Pulas mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Lori yang dipandu Zulkhornain Abdullah, 47, mengalami masalah gear dan ingin ke bahagian kiri jalan sebelum dilanggar Saiful yang tidak menyedari keadaan itu, katanya kepada Bernama, Ahad.

Saiful merupakan antara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labu Besar yang cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.30 pada peperiksaan STPM 2015, yang diumumkan 2 Mac lepas.

Mayat dibawa ke Hospital Daerah Baling untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Shariffuddin.-- Bernama


Artikel Lain