suria

Kes Keracunan Di Perak: Keputusan Awal Makmal Kesan Racun Serangga

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (kanan) memeriksa kesihatan K. Mariamah, 30, (terbaring) yang mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan di Hospital Batu Gajah (HBG), Sabtu.

PUTRAJAYA: Keputusan ujian makmal terhadap sembilan sampel darah mangsa keracunan makanan di Siputeh, Batu Gajah, Perak sehingga 12 tengah hari Sabtu mendapati terdapat petunjuk pendedahan kepada bahan kimia 'organophosphorus' (racun serangga).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu mendapati sampel darah yang diterima itu menunjukkan paras ujian 'cholinesterase' dalam darah adalah rendah. 

"Ini adalah petunjuk pendedahan kepada bahan kimia organophosphorus (racun serangga)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Setakat semalam, 37 orang terdiri daripada 30 lelaki dan tujuh wanita berumur lingkungan dua hingga 71 tahun dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) kerana mengalami muntah dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan. 

Dua puluh empat daripada mangsa kemudian dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada petang hari yang sama, sembilan masih menerima rawatan di HBG, manakala empat disahkan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan penyebab sebenar keracunan makanan itu. 

Beliau berkata berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan pada kebanyakan pesakit, Pakar Klinikal dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam mengesyaki kemungkinan terdapat pencemaran bahan kimia pada makanan yang dibeli dari gerai sama pagi semalam.

Katanya antara tindakan yang sudah diambil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak ialah menjalankan siasatan di hospital dan di rumah.

"PKD dan JKN juga telah melakukan analisa ringkasan kes yang dikesan, menjalankan siasatan dan pemeriksaan di gerai yang terbabit dan pengendali makanan," jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, sampel makanan, persekitaran, klinikal, bekalan air di gerai terbabit dan tiga kilang pesakit bertugas juga sudah diambil untuk analisa lanjut. 

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata bilik gerakan di PKD Kinta dan HBG turut diaktifkan, selain meminta orang ramai di kawasan Batu Gajah mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala-gejala keracunan makanan.-- Bernama


Artikel Lain