suria

Kemajuan Kewangan Islam Perlukan Dasar Awam Yang Mencukupi - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR: Dasar awam dan perundangan yang mantap dalam kewangan Islam perlu disediakan bagi memaksiumkan potensi dan janjinya, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah tanpa dasar dan perundangan yang seiring dengan rangka kerja pengawalseliaan, kemajuan industri kewangan Islam akan terus menjadi tentatif dan tidak selari, dan bersifat aspirasi retorik dan bukannya berasaskan dasar, undang-undang dan peraturan.

"Oleh itu kerajaan dan pengubal undang-undang perlu memastikan langkah perlu disediakan bagi memudahkan pembangunan dan pelaksanaan Kewangan Islam," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Rundingan Meja Bulat Kewangan Islam ketujuh anjuran bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Oxford Centre bagi Kajian Islam (OCIS), di sini.

Baginda bertitah, dasar dan perundangan awam yang berkesan penting, terutama bagi membolehkan perakuan kontrak yang digunakan sebagai mekanisme pembiayaan, keuntungan sebagai altenatif kepada kadar faedah dan perundangan mengambil kira kehendak Syariah.

Malah, dalam bidang kuasa bukan Islam yang telah membolehkan urus niaga kewangan Islam, kerajaan telah mengambil pendirian dasar yang diperlukan dan menerima pakai langkah-langkah perundangan yang berkaitan bagi memudahkan pembangunan kewangan Islam dalam pasaran mereka.

"Tanpa mengambil kira pendekatan yang dilaksanakan, sudah terbukti bahawa komitmen ke atas dasar yang padu merupakan prasyarat untuk memiliki ekosistem yang kondusif untuk kewangan Islam," titah baginda.

Di Malaysia, komitmen dasar awam yang sudah lama wujud dalam kewangan Islam, telah memain peranan penting dalam meletakkan negara ini sebagai pusat kewangan Islam yang cergas.

Pelaksanaan dasar ini yang diselaraskan antara lain dapat dilihat menerusi  penggubalan dan pelaksanaan undang-undang yang memudahkan, kawal selia dan rangka kerja penyeliaan, rangka kerja tadbir urus Syariah dan rejim insentif untuk segmen utama kewangan Islam, iaitu perbankan Islam dan takaful.

Di tempat lain, kerajaan United Kingdom menjadi peneraju negara bukan Islam dengan menerbitkan sukuk negara pada 2014, titah baginda.

"Walaupun laluan yang panjang dan sukar, namun dengan komitmen padu dan penglibatan semua pihak berkepentingan, daripada kerajaan sehingga pengguna, beta yakin bahawa kewangan Islam boleh menjadi komponen yang lebih menonjol dalam sistem kewangan global, yang juga akan meningkatkan kestabilan, keterangkuman dan saksama," titah baginda.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain