suria

Dewan Belia Perak Bukan Pameran Semata-mata - Zambry

Para perwakilan Belia mengangkat sumpah taat setia pada majlis perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak Sesi 1 2016/2017, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama 2016 di Dewan DUN, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu. -fotoBERNAMA

IPOH: Langkah mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak bukan satu usaha bersifat 'tayangan' atau 'pameran', sebaliknya merupakan keazaman untuk membentuk generasi pelapis yang bertanggungjawab bagi mencorak kehidupan masa hadapan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata DUN Belia itu merupakan medan ujian buat perwakilan untuk sama-sama memastikan isu-isu rakyat khususnya yang berkait dengan golongan muda dapat dibahaskan.

"Ia merupakan pelantar terbaik bagi anak-anak muda negeri ini mengetengahkan cara baru melihat sesuatu isu selain mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN Belia Perak di sini Sabtu.

Zambry berkata walaupun anggota DUN Belia Perak tidak melalui proses pemilihan seperti pilihan raya, tetapi ia tidak mengurangkan amanah dan tanggungjawab anggota yang telah dipilih.

"Pemilihan perwakilan telah mengambil kira perwakilan dalam kalangan generasi muda yang terlibat dengan pelbagai pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Tambah Zambry ketika ini terdapat kira-kira 900,000 belia di Perak dan daripada jumlah itu, hanya 20 peratus sahaja yang aktif dalam gerakan persatuan dan pertubuhan.

DUN Belia Perak mempunyai 60 anggota terdiri daripada 70 peratus lelaki dan 30 peratus wanita dari semua kaum.

Persidangan selama dua hari mulai Sabtu akan membahaskan usul di bawah tujuh jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan; Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita serta Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian.

Jawatankuasa lain adalah Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional; Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme. - BERNAMA

Artikel Lain