suria

Angkat Sumpah Lima Ahli Majlis MDKS Tidak Sah?

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor berdepan isu integriti dan kelemahan tadbir urus apabila lima ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dikatakan mengangkat sumpah jawatan tanpa mematuhi peruntukan yang ditetapkan undang-undang.

Kelima-lima mereka melibatkan Yang Dipertua MDKS Noraini Roslan serta wakil parti politik dan pemimpin setempat telah mengadakan majlis angkat sumpah lebih awal pada 20 Januari lalu, manakala baki ahli majlis MDKS mengadakan majlis sama sehari kemudian.

Selain Noraini, empat yang lain adalah Nor Faizah Ismail (PKR), Mohd Fakaruddin Ismail (PAS), Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohamad Yaacob Ismail dan Tan Kik Meng yang mewakili DAP. 

Mereka telah melanggar peruntukan mengikut Seksyen 10 (1) yang dibaca bersama Seksyen 11 Akta Kerajaan Tempatan di mana bilangan minimum ahli majlis MDKS yang perlu hadir untuk majlis angkat sumpah jawatan adalah lapan orang.

Sumber memberitahu mStar Online, keputusan untuk bertindak sedemikian dibuat oleh Noraini yang menerajui MDKS untuk tahun kelimanya pada Jun ini.

"Majlis angkat sumpah itu diadakan lebih awal pada sebelah pagi kerana ia dikatakan mempunyai kaitan dengan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat bagi mempertimbangkan beberapa projek pembangunan pada hari sama yang diadakan pada sebelah petang. 

"Tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila mesyuarat itu difahamkan berakhir tanpa sebarang perjanjian atau kata putus.

"Situasi ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan beberapa pihak termasuk ahli Majlis sendiri dan perkara ini telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.

"Selepas meneliti perkara ini, keputusan yang dibuat adalah kesemua lima ahli Majlis itu diarah mengangkat sumpah semula kerana majlis terdahulu didapati tidak sah," katanya pada Jumaat.

Sumber mStar Online menambah, tindakan itu juga menyebabkan tugas dan tanggungjawab yang dilakukan kelima-lima ahli Majlis MDKS sehingga kini boleh dipersoalkan.

"Setiap minggu, YDP MDKS akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dan jika angkat sumpah jawatan dia bersama empat yang lain tidak sah, apa jadi dengan keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat bermula tarikh angkat sumpah yang tidak sah itu," katanya.

Setakat ini, mStar Online masih berusaha untuk mendapatkan komen pihak MDKS serta kerajaan Selangor berhubung perkara ini.



MDKS, Selangor, Noraini Roslan

Artikel Berikut

Artikel Lain