suria

Umno Gantung Muhyiddin: Najib, Zahid Berkecuali

Najib dan Zahid mengambil sikap berkecuali berhubung usul penggantungan Muhyiddin daripada jawatan timbalan presiden Umno pada mesyuarat MT Umno, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Keputusan menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan presiden Umno dibuat tanpa melibatkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kedua-dua pemimpin utama itu telah minta untuk tidak hadir dalam mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno petang Selasa bagi membincangkan usul penggantungan Muhyiddin.

“Satu usul untuk menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti telah pun dibentang.

“Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kedua-duanya telah minta untuk meninggalkan majlis tersebut kerana tidak mahu hadir dalam keputusan yang akan diambil oleh MT Umno,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya mesyuarat tersebut, petang Jumaat.

Katanya, selepas apa yang berlaku, ahli MT telah bersetuju melantik Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai pengerusi sementara bagi membincangkan usul yang dibangkitkan. 

Pada sidang media itu, Tengku Adnan memberitahu bahawa beliau telah diarahkan oleh perdana menteri untuk membacakan kenyataan akhbar berhubung keputusan yang  diambil setelah MT Umno membincangkan usul penggantungan Muhyiddin.

Menerusi kenyataan itu, Tengku Adnan berkata, keputusan secara konsensus itu bersetuju supaya Muhyiddin digantung daripada memegang jawatan timbalan presiden parti, manakala jawatan-jawatan lain dikekalkan.

Ditanya mengenai jawatan timbalan presiden yang kini ‘kosong’ Tengku Adnan berkata, mengikut perlembagaan, tiada jawatan ‘pemangku timbalan presiden’.

“Dalam perlembagaan parti tak ada pemangku timbalan presiden, selepas itu MT Umno putuskan Datuk Seri Zahid akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden,” katanya.

Selain Hishammuddin, hadir sama di sidang media itu adalah Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin yang tidak hadir mesyuarat petang Jumaat kerana berada di luar negara menjadi perhatian pada mesyuarat kali ini selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden.

Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.




Artikel Lain