suria

Zeti Harap Siasatan 1MDB Selesai Sebelum Tempoh Perkhidmatan Tamat

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum beliau menamatkan tempoh perkhidmatannya pada April ini. 

"Itulah yang saya telah menyatakan dan itulah arah usaha saya, untuk memuktamadkannya semasa tempoh perkhidmatan saya supaya saya boleh  menyerahkan rekod yang bersih kepada gabenor akan datang," kata beliau ketika ditanya sama ada beliau yakin siasatan terhadap 1MDB akan dimuktamadkan semasa beliau memegang jawatan sebagai Gabenor bank pusat.

Zeti, yang dilantik sebagai gabenor bank pusat pada Mei 2000, adalah wanita pertama memegang jawatan berkenaan di Malaysia dan meraih beberapa anugerah termasuk ketua bank pusat yang terbaik di dunia pada tahun 2009 oleh majalah terkenal, 'Global Finance'.

Gabenor bank pusat itu enggan mengulas lanjut mengenai soalan tentang kegagalan 1MDB untuk membawa pulang US$1.83 bilion dan beliau berkata:
"Saya tidak boleh membincangkan perkara ini kerana segala-galanya masih belum diputuskan lagi. Terlalu awal bagi saya untuk berkata apa-apa pada peringkat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis pecah tanah Asia School of Business dengan kerjasama MIT Sloan School of Management, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah Fitch Ratings mengesahkan penarafan Malaysia kepada stabil hari ini, kata Zeti dalam tempoh yang tidak menentu ini, ia adalah positif memandangkan agensi itu mengekalkan penarafannya walaupun persekitaran yang mencabar.

"Ini akan menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai tahap daya tahan tinggi walaupun persekitaran yang mencabar.

"Kita mahu menunjukkan bahawa dasar-dasar dan langkah-langkah yang kita sediakan sebelum ini telah menempatkan kita pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran semasa," katanya.

Artikel Lain