suria

Caj Perkhidmatan: KPDNKK Periksa Lebih 2,500 Premis

PETALING JAYA: Sebanyak 2,532 premis makanan telah diperiksa pihak berkuasa melibatkan peraturan mempamerkan notis caj perkhidmatan sejak tahun lalu hingga 17 Februari ini.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, jumlah itu membabitkan 2,507 premis sepanjang 2015 dengan 19 kes direkodkan, manakala 25 premis lain diperiksa tahun ini.

“Tidak pamer notis adalah kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan penalti RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala syarikat dikenakan penalti RM500,000,” katanya kepada mStar Online.

Mstar Online pada Selasa melaporkan ribuan premis makanan termasuk hotel bakal berdepan tindakan tegas kerana didapati menyalahgunakan notis caj perkhidmatan 10 peratus yang dikenakan kepada pelanggan.

Pengusaha premis terlibat didapati mengelirukan pengguna kerana bertindak mengenakan caj berkenaan walaupun tidak memenuhi syarat untuk berbuat demikian.



Ditanya mengenai kesalahan berkaitan caj perkhidmatan, Mohd Roslan berkata, peraturan sedia ada mewajibkan notis dipamerkan, bagaimanapun ia hanya layak untuk premis yang mempunyai perjanjian kolektif (CA) antara majikan dan kesatuan sekerja.

Sehubungan itu katanya, pihaknya sedia melaksanakan tugas penguatkuasaan dalam sebarang bentuk seperti mana diarahkan kerajaan bergantung kepada dasar yang ditetapkan berhubung caj perkhidmatan.

“Peraturan baharu belum ada lagi kerana ia masih dalam proses kajian untuk pelaksanaan," katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad memaklumkan, kementerian itu dalam proses merangka peraturan baharu bagi mengenakan tindakan terhadap semua premis yang menyalahgunakan notis caj perkhidmatan mengikut pindaan Akta Perlindungan Pengguna.

Pindaan akta itu membolehkan KPDNKK membuat semakan sama ada peniaga mempunyai CA bagi melayakkan mereka mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna dan sama ada peniaga sebagai majikan mengagihkan hasil kutipan daripada caj berkenaan kepada pekerja mereka.

Jika peniaga atau syarikat didapati gagal berbuat demikian, KPDNKK akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain