suria

Kru Cemas, Kapal Dilanggar Lari Di Perairan Tanjung Ayam

JOHOR BAHARU: Dua belas kru dan seorang kapten dalam dua kapal berhadapan detik cemas apabila dirempuh sebuah kapal lain kira-kira 2.7 batu nautika dari tenggara perairan Tanjung Ayam di Kota Tinggi, Khamis lepas.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada semua kru yang terdiri daripada warga tempatan, Indonesia dan Myanmar yang berumur antara 20an dan 50an.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata kejadian juga tidak menyebabkan tumpahan minyak tetapi kedua-dua kapal yang didaftarkan di Port Klang, Selangor itu mengalami kerosakan pada 'starboard' (sisi kanan).

Kesemua kru kapal berjaya diselamatkan pasukan peronda APMM, katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

"Kejadian berlaku ketika kedua-dua kapal iaitu TINA 7 dan STRAITS 3 sedang bersauh, manakala sebuah lagi kapal (MV OLF) dalam pelayaran dari Hong Kong menuju ke India, dengan membawa 16 kru warga India dan Sri Lanka," kata Amran.

MV OLF yang didaftarkan di Basseterre, Saint Kitts  and  Nevis itu dikatakan meneruskan pelayaran ke perairan Indonesia tanpa membantu anak kapal TINA 7 dan STRAITS 3, katanya.

Amran berkata berikutan insiden itu, pihaknya telah menggerakkan pasukan untuk menjejaki MV OLF dan operasi turut dibantu Pengawal Pantai Singapura dan Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi mengesan pergerakan kapal tersebut di perairan Singapura serta Indonesia.

Selepas tiga hari menjejakinya, radar APMM akhirnya berjaya mengesan MV OLF di perairan Tanjung Ramunia pada Ahad lepas.

Rentetan itu, APMM Tanjung Sedili telah menghantar bot bersama pegawai Jabatan Laut Pasir Gudang ke tempat kejadian bagi menahan kapal tersebut sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Laut untuk siasatan lanjut.

Tanjung Ayam, APMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain