suria

Perbicaraan Kes Ku Chin Wah 3 Mei Depan

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah (tengah) diiringi peguam ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan perbicaraan selama enam hari bermula 3 Mei depan untuk kes bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang didakwa gagal mengisytiharkan perolehan komisyen berjumlah hampir RM1 juta, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan tarikh itu selepas kes disebut di hadapannya hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed dan peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Ku.

"Mahkamah menetapkan enam hari iaitu pada 3, 4, 5, 6, 9 dan 10 Mei ini untuk perbicaraan," kata hakim itu selepas membenarkan permohonan peguam bela supaya kes ditetapkan untuk perbicaraan.

Di awal prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dokumen berkaitan kes itu belum selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

Pada 22 Jan lepas, Ku, 58, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Dis 2013 yang mana tertuduh gagal mengisytiharkan perolehan daripada komisyen berjumlah RM961,500 di dalam surat akuan bersumpahnya bertarikh 8 Jan 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014. 

Polis, Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain