suria

Peraturan Khas Jualan Vape Diumum Tidak Lama Lagi

PETALING JAYA: Industri vape di Malaysia gempar dengan apa yang dikatakan satu 'berita baik' berkaitan peraturan khas yang dilaporkan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Pihak berkepentingan dalam industri vape rata-rata menyambut baik khabar yang menyatakan bahawa perbincangan mengenai peraturan khusus bagi penjualan vape dan produk berkaitan rokok elektronik yang hebat dibincangkan sejak tahun lalu telah menemui penyelesaian.

Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move),  Samsul Kamal Ariffin berkata terdapat cakap-cakap bahawa kabinet telah membuat keputusan untuk mengawal selia industri vape.

"Difahamkan peraturan itu akan diumumkan dalam bulan ini tetapi tidak ada berita mengenainya lagi. Mungkin selepas mesyuarat kabinet akan datang.

"Kami (persatuan vape dan pihak berkepentingan) telah bermesyuarat dengan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan) dan Kementerian Kesihatan untuk merangka model peraturan.

"Sebaik-baiknya, kita mahukan satu resolusi yang didorong model pengguna tetapi mesra perniagaan," kata beliau sambil menambah Move melihat peraturan itu secara positif.

Move telah mengumpul 50,000 tandatangan untuk petisyen kepada Kementerian Kesihatan pada September tahun lepas supaya mengawal selia industri vape.

Samsul berkata, daripada apa yang dilihat, beberapa keperluan agak sukar untuk dipatuhi, oleh itu, pemain dalam industri tidak akan terlalu ramai.

Sebuah akhbar Cina (China Press) pada Sabtu melaporkan bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk membenarkan pengendali memperbaharui lesen mereka supaya mereka boleh meneruskan perniagaan.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa para pengusaha perlu mengikuti kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan untuk memperbaharui lesen mereka dan proses itu memakan masa.

Jualan vape menyaksikan penurunan drastik selepas ia diharamkan di beberapa negeri dan juga disebabkan oleh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa menghisap rokok elektronik adalah dilarang.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa sesetengah penjual vape mendakwa mereka mendapat pendapatan kurang dari RM100 sebulan dan sehingga November tahun lepas, kira-kira 600 daripada 1,200 penjual vape telah menutup perniagaan mereka.

Artikel Lain