suria

Lelaki Ditahan Miliki 25 Ekor Tenggiling Hidup

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan oleh pasukan penguatkuasa dari pejabat hidupan liar Lahad Datu kerana memiliki 25 ekor tenggiling hidup.

Pengarah Hidupan Liar Sabah William Baya berkata sekatan jalan di sepanjang jalan Sandakan-Lahad Datu, yang dilancarkan oleh kakitangan Jabatan Hidupan Liar dan dibantu oleh Warden Kehormat Hidupan Liar Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, menemui haiwan tersebut dalam sangkar di bahagian simpan barang kereta Proton Iswara yang dipandu lelaki tersebut kira-kira 7.10 pagi.

"Lelaki itu, dari Lahad Datu, kini disiasat di bawah Seksyen 41 (2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki spesies hidupan liar tanpa permit.

"Hukuman bagi kesalahan itu ialah didenda RM30,000 atau penjara tiga tahunatau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

William berkata lebih banyak sekatan jalan akan dilancarkan oleh jabatan untuk membanteras kegiatan memburu hidupan liar secara haram di Sabah.-Bernama

Tenggiling, WWF

Artikel Berikut

Artikel Lain