suria

Ketua Polis KL Dilantik Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berkuat kuasa Sabtu.

Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan Sabtu berkata, Tajudin menggantikan Datuk Hamza Taib yang bersara wajib pada 14 Mac ini.

Sementara jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)(Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Jawatan Amar Singh pula disandang Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon, manakala Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Mohd Ali menggantikan Law.

Timbalan Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman, Datuk Mohd Haniff pula dinaikkan pangkat daripada Deputi Komisioner ke Komisioner. 

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Bahagian Agama dan Kaunseling) Bukit Aman Datuk Dr Ab Rahman Ismail dinaikkan pangkat ke Timbalan Pengarah JIPS (Integriti) Bukit Aman, dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Sementara, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Datuk Riduan Hashim ditukar sebagai Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Jawatan Ketua Staf Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EssCom) pula diisi oleh Asisten Komisioner Md Rusli Mat Junus dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Kepolisan Am/Strategik/Siasatan) Jabatan KDN/KA Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad pula dinaikkan pangkat menjadi Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Jawatan Roslan diambil alih Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Asisten Komisioner Pentadbiran IPK Sarawak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Johor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.-- Bernama


Tajudin Md Isa, JSJK Bukit Aman, PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain