suria

Ahli Perniagaan Didakwa Miliki Cop Istana Selangor

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki cop nama, menyamar sebagai wakil Istana Diraja Selangor dan memalsukan surat kuning yang dikeluarkan istana tersebut.

Tertuduh, Chia Wen Jin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dan di hadapan Majistret Salamiah Salleh ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Di Mahkamah Sesyen, bapa kepada dua anak itu didakwa memiliki cop atas nama Raja Luthfi Raja Berempat Selangor bagi membuat suatu teraan untuk memalsukan surat kuning tersebut.

Chia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta VIP, Hotel Palace Of The Golden Horses, Jalan Kuda Emas, Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor, jam 9 malam, 5 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Chia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu Nor Syakira Md Yusof, 25, seorang pengurus bahagian khidmat pelanggan untuk menyamar sebagai wakil dari Istana Diraja Selangor bagi pihak Tengku Luthfi Badli Shah sehingga mendorong Nor Syakira menyediakan tempat letak kereta VIP secara percuma di Hotel Palace Of The Golden Horses.

Chia turut didakwa memalsukan satu surat kuning yang dihantar kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memberitahu dia sebagai wakil Istana Selangor untuk berurus niaga di Pahang.

Satu surat kuning yang dihantar kepada Pejabat Tanah bagi memberitahu dia adalah pembantu peribadi kanan Raja itu; dan tiga surat kuning yang dihantar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memberitahu dia adalah pengiring selain boleh memandu sehingga 160 kilometer sejam (KM/J).

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya; dan Seksyen 468 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit salah.

Majistret Salamiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya manakala peguam Ravin Jay mewakili tertuduh bagi kesemua kes tersebut.

Kesemua kes disebut semula pada 16 Mac depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain