suria

Pembebasan Norazman Bashah Atas Tuduhan Bunuh Isteri Kekal

Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, (tengah) terhadap tuduhan membunuh isterinya Nursyaleza Jaafar, 31, seorang eksekutif pentadbiran TV9. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat mengekalkan pembebasan seorang bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat terhadap tuduhan membunuh isterinya Nur Syaleza Jaffar yang merupakan seorang eksekutif pentadbiran TV9.

Tiga panel hakim, diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Mei tahun lepas yang membebaskan Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah daripada tuduhan membunuh isterinya.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata hakim tidak khilaf dalam keputusan membebaskan Norazman Bashah dan tidak ada asas yang kukuh untuk panel itu campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Dua hakim yang bersidang di panel itu ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamardin Hashim.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman telah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi dan juga mempertimbangkan asas siasatan di tempat kejadian.

Norazman Bashah, 34, kelihatan tenang sewaktu keputusan mahkamah diumumkan.

Beliau yang berpakaian kemeja T berwarna putih kemudiannya dilihat meluru memeluk ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.

Norazman Bashah, bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di Apartmen Saujana di Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Dia telah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Nur Syaleza ditemui tergantung di dalam bilik apartmen itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurshafini Mustafha memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan lanjut sama ada untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Turut mewakili pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar manakala peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan mewakili Norazman Bashah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain