suria

Lebih 200 Penumpang Pesawat Rayani Air Terkandas Di Langkawi

LANGKAWI: Lebih 200 penumpang pesawat Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.

Penerbangan RN180 menggunakan pesawat Boeing 737 yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 11.10 pagi Selasa tidak dibenarkan berlepas selepas kerja-kerja untuk mengatasi masalah itu belum dapat diselesaikan.

Seorang daripada petugas di Pejabat Khidmat Pelanggan Rayani Air di sini memberitahu Bernama, tempoh untuk menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapi pesawat itu belum dapat dipastikan lagi.

"Saya difahamkan bahagian kejuruteraan (Rayani Air) masih menunggu alat ganti untuk membaiki kerosakan pesawat berkenaan," kata petugas itu yang enggan mendedahkan namanya.

Menurutnya penumpang yang terjejas telah diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan perkhidmatan feri dan bas yang disediakan oleh Rayani Air untuk kembali ke Kuala Lumpur ataupun tambang penerbangan mereka dikembalikan.

Petugas itu berkata satu lagi penerbangan Rayani Air yang dijadualkan pukul 6.20 petang ini juga dibatalkan.

Sementara itu, Nor Azman Ali, seorang daripada penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan itu menyarankan Rayani Air untuk menyediakan pesawat gantian bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang terkandas.

Seorang lagi penumpang, Jaslia Samat, berkata beliau bersama-sama 12 orang lagi rakan setugasnya terpaksa mengambil cuti sehari lagi memandangkan mereka sepatutnya mula bekerja esok.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan mematuhi syariah yang pertama di Malaysia dan baru beroperasi Disember tahun lepas. - Bernama


Rayani Air, masalah teknikal, RN180

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain