suria

Banjir Di Sarawak Tak Akan Pulih Serta Merta Berikutan Air Pasang Besar

Dua penghuni sebuah chalet memerhatikan ombak besar yang menghempas pantai akibat fenomena air pasang besar di Kampung Tengah, Mengabang Telipot. -fotoBERNAMA
KUCHING: Hujan di daerah Kuching dan Bau, di Sarawak sehingga hujung minggu ini dijangka semakin berkurangan berbanding suasana hujan lebat sekali-sekala yang berlarutan di dua kawasan itu sejak dua hari lepas.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Misnu Taha berkata bagaimanapun keadaan banjir dijangka tidak akan pulih dengan serta merta di kawasan berkenaan disebabkan fenomena air pasang besar yang melanda ketika ini.

Beliau berkata fenomena itu dijangka berlaku pada petang ini serta awal pagi Rabu, dan orang ramai yang tinggal di dua daerah berkenaan, terutama di kawasan rendah, diminta berwaspada sepanjang masa dan menghubungi pihak berkuasa serta merta jika memerlukan sebarang bantuan.

Katanya baraj di Sungai Sarawak di sini dibuka sepanjang masa ketika ini bagi membolehkan air yang mengalir deras dari hulu sungai melaluinya dengan lancar untuk terus ke laut, namun keadaan air pasang di laut untuk dua atau tiga hari ini tidak dapat meredakan keadaan banjir di dua daerah itu dengan pantas.

Bercakap dalam satu persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini, beliau berkata semasa fenomena air pasang, paras air laut dijangka melonjak sehingga sekitar 6.1 meter, berbanding paras 2.4 meter ketika ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan sehingga tengah hari ini melonjak sehingga 2,501 orang daripada 656 keluarga, berbanding sekitar 1,065 orang daripada 253 keluarga pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim ketika dihubungi berkata sehingga kini 15 pusat pemindahan dibuka di daerah Kuching dan lima di daerah Bau.

Beliau berkata beberapa pusat pemindahan lagi, terutama di kawasan-kawasan rendah di sekitar dua daerah itu sedang bersiap sedia untuk dibuka ekoran keadaan air pasang besar yang dijangka berlaku petang ini dan pagi esok.

Menurutnya semua agensi yang terlibat diletakkan dalam keadaan berwaspada dan bersiap sedia sepanjang masa sejak beberapa hari lepas untuk menyegerakan sebarang operasi pemindahan mahupun penyaluran bantuan.

Artikel Lain