suria

PAC Cadang Bentang Laporan Akhir Audit 1MDB Mac Ini

Datuk Hasan Arifin
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bercadang membentangkan laporan akhir pengauditan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat bermula Mac hingga April ini.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pembentangan itu akan dibuat selepas pihaknya meneliti terlebih dahulu laporan yang akan dibentangkan Ketua Audit Negara kepada pihaknya pada 24 dan 25 Februari ini.

"Laporan Ketua Audit Negara ini sangat penting kerana ia merupakan sumber utama sebagai rujukan kepada PAC dalam membuat rumusan sebelum dibentangkan ke Parlimen nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Selasa.

Sementara itu, Hasan berkata prosiding membabitkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada 11 dan 12 Februari ini adalah yang terakhir di bawah tajuk Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB.

Ini memandangkan prosiding membabitkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu sudah berlarutan lama sejak Mei 2015 dan maklumat yang diterima melalui sembilan prosiding sebelum ini sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan yang objektif, telus dan adil, jelasnya.

Dalam pada itu, Hasan berkata tiada keperluan memanggil Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman untuk memberi keterangan berhubung 1MDB.

Hasan menjelaskan bahawa maklumat yang diberikan oleh Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika prosiding pada 19 dan 20 Januari lepas sudah mencukupi, berdasarkan tanggungjawab dan pengetahuan Lodin yang mendalam mengenai operasi syarikat tersebut.

"Selain itu, mengenai 1MDB di bawah Bank Negara pula, perkara berkenaan sudah dijelaskan oleh 1MDB secara terbuka dalam media massa dan ia sudah mendapat ulasan daripada Peguam Negara serta sudah dilaporkan media massa secara terbuka dan meluas," katanya.

audit 1MDB, 1MDB, PAC, Datuk Hasan Arifin

Artikel Lain