suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kementerian Kesihatan Tolak Dakwaan Program Imunisasi Sebabkan Masalah Kepala Kecil

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memandang berat penulisan disebarkan di media sosial yang menyatakan kononnya masalah kepala atau otak kecil (microcephaly) yang berlaku di Brazil bukan dikaitkan dengan jangkitan Zika tetapi sebaliknya akibat imunisasi seperti Tdap (vaksin Tetanus, Diphtheria dan Pertussis).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penulisan tersebut bukan sahaja salah dari segi fakta tetapi juga mengelirukan masyarakat yang sudah sedia bimbang dengan apa yang sebenarnya berlaku di benua Amerika ketika ini.

"Penulis tersebut membuat gesaan supaya ibu-ibu mengandung tidak mengambil pelalian atau imunisasi," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Menurut beliau, Gardasil (untuk pelalian Human papillomavirus, HPV) tidak diberi kepada ibu mengandung di mana-mana negara di dunia.

"Manakala Tdap telah mula digunakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom sejak 2012 lagi untuk menangani epidemik batuk kokol (pertussis) dalam kalangan bayi baru lahir dan tidak pula dikaitkan dengan microcephaly di negara-negara berkenaan," katanya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham menegaskan tiada langsung kaitan di antara imunisasi berkenaan dengan apa yang berlaku di Brazil.

Katanya penciptaan vaksin adalah satu perkembangan teknologi yang telah berjaya menurunkan bilangan kes dan kematian akibat penyakit cegahan vaksin.

"Menjadi amalan semua negara termasuk Malaysia, sekiranya didapati mana-mana vaksin menyebabkan kemudaratan kepada manusia, ia akan ditarik balik dari pasaran," katanya.

Dr Noor Hisham berkata banyak penyakit berjangkit yang telah berjaya dihapus atau dikawal sehingga tidak lagi menjadi masalah kesihatan sejagat.

"Tiada siapa yang dapat menafikan terhapusnya cacar di seluruh dunia dan polio yang kini hampir dibasmi adalah kerana program imunisasi," katanya.

Lebih malang, katanya sebahagian kanak-kanak yang mengalami wabak penyakit berjangkit seperti campak, batuk kokol dan difteria yang menyebabkan kematian di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang tidak mendapat imunisasi pada umur yang disarankan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat, khususnya berkaitan perubatan dan kesihatan, daripada sumber-sumber yang sahih. - BERNAMA

Artikel Lain