suria

69 Warga Indonesia Ditahan Cuba Keluar Negara Secara Haram

JOHOR BAHARU: Sebanyak 69 warga Indonesia termasuk tekong dan lima pembantunya ditahan dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram, pada kedudukan 3.2 batu nautika barat Pulau Kukup, dekat Pontian, tengah malam Sabtu.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Supt Salehuddin Mat Zaman berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan di atas bot pancung.

Beliau berkata dalam operasi pada 12.15 tengah malam itu, tiga bot peronda Polis Marin berjaya memintas sebuah bot laju yang mencurigakan dalam perjalanan menuju ke perairan negara jiran.

"Bot pancung itu kemudiannya berjaya ditahan lebih kurang 30 minit kemudian di perairan 3.2 batu nautika barat Pulau Kukup," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Hasil pemeriksaan mendapati bot pancung berkenaan cuba melolosi kawalan perairan oleh PPM ke negara jiran melalui jalan tidak diwartakan.

"Mereka yang ditahan berusia antara 18 dan 53 tahun," katanya.

Salehuddin berkata tekong bot dan lima pembantunya ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara kesemua 63 PATI disiasat di bawah Seksyen 5(2), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen.

Turut dirampas sebuah bot bersama-sama tiga enjin yang dianggarkan bernilai RM170,000.

Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain