suria

Tabung Haji Mampu Bayar Dividen Tahun Ini - Ketua Audit Negara

Tan Sri Ambrin Buang
PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (LTH) mampu untuk membuat pembayaran dividen kepada pendeposit tahun ini, kata Jabatan Ketua Audit Negara.

"Berdasarkan kajian semula penyata pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 dan maklumat interim yang diterima, kami mendapati bahawa LTH mampu untuk membuat pembayaran dividen kepada pendeposit," kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam satu kenyataan.

"Penentuan kadar dividen adalah terletak di bawah tanggungjawab lembaga Tabung Haji," katanya.

Ambrin mengulas laporan baru-baru ini yang mempersoalkan keupayaan dana jemaah haji itu untuk membayar dividen tahun ini selepas kebimbangan mengenai keadaan kewangannya.

Ambrin juga berkata kajian semula penyata pendapatan sebelum dividen diisytiharkan adalah amalan biasa untuk memastikan dasar-dasar perakaunan yang diterima pakai oleh mereka adalah selaras dengan konsep berhemah.

Dilaporkan minggu lalu bahawa Bank Negara telah mengeluarkan surat kepada Tabung Haji mengenai kebimbangannya terhadap tahap negatif rizab dana.

Dalam maklum balasnya, Tabung Haji berkata ia mempunyai wang untuk membayar bonus kepada 8.8 juta pendeposit dan dividen akan diumumkan pada bulan Mac.
LTH, Tan Sri Ambrin Buang, dana haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain