suria

Kes Tiga Lelaki Culik Kanak-Kanak Lima Tahun Disebut Semula 22 Mac

KAJANG: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes tiga lelaki yang menghadapi pertuduhan menculik kanak-kanak lelaki berusia lima tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000 pada Oktober tahun lepas.

Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz memaklumkan pihak pendakwaan masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengendali sebuah syarikat percetakan, Siow Kek Keong, 44, buruh warga Indonesia, Riduansyah Yahya, 32, dan pemandu lori, Mohd Saifulamry Jarkasi, 28, didakwa dengan niat bersama menahan serta mengurung secara tidak sah kanak-kanak lelaki itu yang merupakan anak seorang kontraktor.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut untuk mendapatkan wang tebusan, di tepi Jalan Seroja bersebelahan sebuah rumah di Taman Setia, Sungai Chua, di sini pada 9.26 pagi, 9 Oktober 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kek Keong diwakili peguam J. Jayarubbiny, Riduansyah oleh peguam Wong Kar Hung, dan Mohd Saifulamry oleh peguam Mohd Fadhly Yaacob. -- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain