suria

Semua Kampung Ada Akses Ke Bandar Menjelang 2020 - Ismail Sabri

KENINGAU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan untuk menyediakan akses jalan raya ke bandar di semua kampung di negara ini menjelang 2020, kata menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata akses itu, yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), melibatkan pembinaan jalan raya berturap dan jalan asas (tidak berturap).

"Kita tahu, ekonomi sukar dibangunkan kalau tiada jalan raya menghubungkan kampung-kampung. Sebab itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Wilayah mementingkan akses atau kesalinghubungan antara kawasan kampung dengan bandar.

"Fokus kita, bukan sahaja membangunkan jalan aspal tetapi juga jalan asas yang boleh menghubungkan kampung ke bandar-bandar," katanya sambil menjelaskan projek berkenaan juga akan dilaksanakan di Sabah.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek naik taraf Jalan Ansip-Dalit-Kahaba di Keningau di sini, Selasa. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Parlimen Keningau Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Ismail Sabri berkata buat tahun ini, kementerian itu memperuntuk RM5.5 bilion untuk pembangunan luar bandar termasuk pembinaan jalan raya luar bandar, dengan 28.8 peratus daripada jumlah itu atau RM1.56 bilion diperuntukkan kepada Sabah.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan masyarakat luar bandar di Sabah.

Menurutnya sepanjang lawatan dua hari ke beberapa lokasi di Sabah, beliau menerima makluman balas daripada rakyat di kawasan yang dipimpin parti pembangkang yang mengatakan bahawa selepas dua tahun, rakyat di kawasan itu belum menerima sebarang program pembangunan daripada wakil rakyat mereka.

"Hanya melalui kerajaan BN sahajalah pembangunan dapat dibawa ke kawasan luar bandar sama ada di Sabah atau Sarawak. Ini jelas, apabila Pegawai Daerah Keningau (Yusof Osman) minta sedikit, saya beri lebih. Inilah kerajaan BN," katanya.

Ismail Sabri juga berharap penduduk Keningau tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah pembangkang yang menurutnya hanya muncul secara bermusim terutama menjelang pilihan raya namun sukar ditemui selepas pilihan raya.-- Bernama

Artikel Lain