suria

Malaysia Akan Guna Getah Untuk Bina Kira-Kira 1,000 Km Jalan Negeri

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah bersedia menggunakan getah untuk pembinaan jalan negeri sepanjang kira-kira 1,000 kilometer, mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (MRB) Datuk Dr Mohd Akbar Md Said.

Beliau berkata penggunaan getah yang pelbagai, terutama untuk pembinaan, akan membantu mengurangkan stok getah semasa dan menaikkan harga komoditi berkenaan.

Mohd Akbar juga berkata MRB juga sedang mengkaji kaedah meningkatkan penggunaan getah dalam sektor lain dalam negara.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian bengkel 'Getah Khas untuk Poduk Getah Hijau' oleh Pengerusi MRB Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah di sini, Selasa.

Mohd Akbar juga berkata, jalan getah boleh dibina di negara ini seperti yang sudah dilaksanakan di Stesen Penyelidikan Kota Tinggi, Johor.

"Kini kami mengkaji jalan negeri dan jalan ladang," katanya.

Mohd Akbar berkata negara pengeluar getah seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia memutuskan untuk meningkatkan penggunaan getah dalam negara dan antara pilihannya, membina jalan raya getah.

"Ketiga-tiga negara mengkaji kemungkinan menggunakan 300,000 tan getah asli untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Leo berkata industri getah tidak berubah pada masa ini dan bengkel itu diadakan bagi meningkatkan kualiti serta nilai getah dalam industri.

"Bengkel hari ini merupakan platform baik untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai penggunaan getah khas 'Ekoprena' (Epoxidised Natural Rubber) dan Pureprena (Deprotenised Natural Rubber) untuk pengeluaran produk getah hijau," katanya.

Produk ini dihasilkan daripada getah asli sebagai sumber boleh baharu, selari dengan trend global ke arah penghasilan produk getah mesra alam dan berkekalan.

Sementara itu, Akbar berkata kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk perbelanjaan awal pembinaan kilang pemprosesan Ekoprena dan Pureprena secara komersial oleh Felda Rubber Industries Sdn Bhd.

Bengkel interaktif itu dianjurkan bersama antara Lembaga Getah Malaysia dan Felda Rubber Industries Sdn Bhd. -- Bernama 


Artikel Lain