suria

Virus Zika: Kerajaan Tak Larang Rakyat M'sia Ke AS, Amerika Tengah

Dr Hilmi Yahya.

BALIK PULAU: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang larangan kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Amerika Selatan dan Amerika Tengah, namun menasihatkan mereka mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Zika.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bagaimanapun berkata, wanita hamil dinasihatkan agar tidak ke negara terbabit kerana virus berkenaan boleh memberi kesan terhadap kandungan. 

"Virus itu hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian tetapi ia berbahaya kepada wanita mengandung.

"Ini kerana ia boleh menyebabkan 'microcephaly' iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom 'guillain-barre'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Pulau Betong, di sini Sabtu.

Sehingga Jumaat, terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika iaitu virus dari gigitan nyamuk Aedes.

Negara itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S., Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

Dr Hilmi berkata, kementerian mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memberi penerangan dan mengedarkan risalah kesihatan kepada pelancong dari negara terbabit termasuk rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan berhubung penularan virus Zika.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menempatkan kakitangan kesihatan di pintu masuk utama negara terutama lapangan terbang bagi memberi penerangan berhubung virus berkenaan.

Katanya, risiko jangkitan virus itu merebak ke Malaysia adalah tinggi kerana negara ini mempunyai nyamuk Aedes.

"Sehingga semalam sebanyak 300 sampel nyamuk Aedes di seluruh negara telah diambil dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan. Keputusannya semua adalah negatif untuk virus Zika," katanya. - Bernama

virus Zika, Zika

Artikel Berikut

Artikel Lain