suria

Perumahan Pertama Guna Alat Pengimbas Digital Dalam Rondaan

Willey Richard.

KUALA LUMPUR: Taman Cheras Perdana di sini menjadi taman perumahan pertama menggunakan alat pengimbas digital bagi meningkatkan keberkesanan skuad rondaan pasukan keselamatan sukarela di kawasan itu bermula Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata sebanyak tujuh unit alat pengimbas itu telah ditempatkan bagi setiap kawasan di taman perumahan berkenaan.

"Alat berkenaan mampu merekodkan identiti individu, masa dan tarikh yang dilakukan oleh petugas yang meronda setelah alat itu melalui proses imbasan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sistem Rondaan Digital Kepolisan Komuniti di sini Jumaat.

Willey berkata sukarelawan daripada Persatuan Kepolisan Komuniti dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan seramai 10 anggota untuk membuat rondaan setiap hari.

Katanya penggunaan alat itu, yang bernilai RM2,500 seunit, akan diperluaskan di taman perumahan lain selepas ini mengikut permintaan.

Dalam pada itu, Willey menasihati penghuni rumah yang ingin pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina supaya melengkapkan borang maklumat balik kampung di balai polis berdekatan untuk tujuan rondaan. - BERNAMA

ACP Willey Richard

Artikel Sebelum

Krisis MB Kedah Kian Berakhir

Artikel Berikut

Artikel Lain