suria

Mukhriz Wira Meera Alynna

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir akan sentiasa menjadi wira di hati anak perempuannya.

Anak Menteri Besar Kedah itu,  Meera Alynna Mukhriz berkata demikian menerusi satu posting gambar di laman Instagramnya yang dimuat naik awal pagi Khamis.

Beliau memuat naik gambar hitam putih dengan lakaran Mukhriz berdiri di atas peta negeri Kedah, berpakaian ala-Superman, watak adiwira yang dikenali ramai.

Di bahagian dadanya huruf 'S' telah digantikan dengan huruf 'M'.

Keterangan gambar itu berbunyi: "My dad has always been my superhero".

Posting itu menerima komen daripada pengikut-pengikutnya yang rata-rata menyatakan sokongan kepada Mukhriz dan ada juga yang memberikan kata-kata semangat kepada Meera.

Dalam sidang akhbar Rabu lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai kumpulan yang terdiri daripada 14 ketua Umno bahagian, penggubal undang-undang negeri dan Persekutuan menyatakan mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz dan menggesa penyingkiran beliau sebagai Menter Besar.

Difahamkan, Mukhriz dan Ahmad Bashah telah bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak secara berasingan, tetapi Presiden Umno dan Perdana Menteri masih belum mengumumkan sebarang keputusan.

Terdapat 36 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah, dengan BN memegang 21 kerusi (19 dari Umno dan dua dari MCA) dan pembangkang 15 kerusi.



Kedah, Umno

Artikel Lain